BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 7 Januari. - Pameran Seni Lukis Batik Koleksi Jabatan Muzium-Muzium masih lagi di bukakan bagi kunjungan orang ramai hingga 14 Januari ini di Galeri Seni, Jabatan Muzium-Muzium, Dermaga Diraja BSB, di ibu negara, di sini.
Sebanyak 45 koleksi Seni Lukis Batik dipamerkan yang telah dihasilkan oleh Jabatan Muzium-Muzium, Bengkel Kakitangan Radio Televisyen Brunei (RTB) serta Bengkel Penuntut Sekolah-sekolah Menengah.
Pemeran juga adalah hasil kerja tangan daripada Ramsay Ong, Sarkasi Said Tzee dan Awang Zainal Abidin Ibrahim yang mana telah dikumpulkan dari pertengahan tahun 1960an dan hasil daripada bengkel batik yang pernah dikendalikan pada tahun 2004.
Galeri Seni Jabatan Muzium-Muzium dibukakan kepada orang-orang persendirian, persatuan pelukis, agensi-agensi kerajaan atau pihak swasta dan institusi pendidikan untuk menggunakan ruang yang disediakan oleh jabatan tersebut bagi menganjurkan pemeran di galeri yang telah disediakan.
Menurut Ketua Pegawai Muzium selaku Pengerusi Galeri Seni, Jabatan Muzium-Muzium, Awang Haji Ilham Rohaidi bin Haji Mashud menjelaskan bahawa pameran itu antara lain bertujuan untuk memperlihatkan koleksi jabatan tersebut kepada orang ramai di samping mempromosi akan keunikan batik berkenaan.
"Ia juga diadakan untuk meningkatkan mutu seni lukis di negara ini selain meningkatkan pemikiran kreatif melalui seni lukis batik dan menjana kemahiran belia di negara ini dalam bentuk seni lukis," ucapnya.
Jabatan Muzium-Muzium melalui Galeri Seni tambahnya akan berusaha memperluaskan karya seni lukis dalam bentuk media batik di kalangan belia-belia dan generasi muda seperti penuntut-penuntut sekolah dan seumpamanya.
Jumlah koleksi lukisan batik yang berdaftar di bawah koleksi jabatan tersebut katanya adalah lebih kurang 70 buah lukisan.
Perancangan mengenai pameran seni lukisan batik terangnya akan dilaratkan dan dikembangkan lagi pada masa-masa yang akan datang kerana seni lukis dipercayai mempunyai potensi dalam menjana aspek komersial dan pembangunan di negara ini.
http://www.pelitabrunei.gov.bn/nasional/item/192-pameran-batik-di-galeri-seni-dermaga-diraja-bsb